Thursday, July 29, 2010

Tidurlah dalam senyuman .

Tidurlah dalam senyuman

SETIAP orang berhak untuk bahagia ! Ingin tahu bagaimana menjadikan hidup anda lebih ceria? Ikuti beberapa tip di bawah . Mungkin ia dapat membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik .


    Buka hari anda dengan sebuah senyuman ! Senyumlah , anda akan berasa lebih segar . Sebaik anda buka mata , senyumlah pada yang tersayang . Mungkin dia juga menunggu untuk senyum kepada anda . Atau , bukalah tingkap dan pandanglah pada mentari yang sedang menanti anda . Ukirlah senyuman manis di bibir anda apabila melihat sinarannya .

    Pastikan hari anda lebih indah daripada sebelumnya . Anda berkuasa sepenuhnya bagaimana untuk mencorakkan hari anda . Jadi , pilihlah untuk mulakan hari anda dengan sedikit gerakan pada bahagian bibir . Biasanya , sesuatu yang bermula dengan baik akan berakhir dengan lebih baik !


•    Hadapi semua masalah dengan hati terbuka . Kemudian , barulah bertindak . Mungkin hari ini anda sedang menghadapi detik-detik sukar dalam hidup anda . Sekalipun kita tidak mampu mengelak daripada masalah tersebut , kita mesti berjaya berdepan dengannya . Yakinilah , jika anda telah berusaha keras untuk menanganinya , hasilnya juga pasti berbaloi . Anda hanya perlu bersabar sahaja menunggu ganjaran itu datang kepada anda . Ia tetap datang . Cepat atau lambat sahaja . Hidup ini memang begitu ! Dan sebenarnya , kehidupan kita pada hari ini hasil daripada apa yang telah kita lakukan pada hari sebelumnya .


•    Hulurlah tangan kepada sesiapa yang memerlukan . Meringankan penderitaan seseorang akan dapat meringankan hati anda . Andainya anda terlihat seekor rama-rama terkapai-kapai di permukaan air dengan badannya yang terbalik ke atas , ambillah sedikit masa untuk menyelamatkannya . Jika tergerak naluri anda untuk menyelamatkan seekor rama-rama yang hampir kelemasan , tentulah anda tidak sampai hati membiarkan seorang manusia seperti anda menanggung kesusahannya seorang diri .


    Paling tidak , berilah sokongan kepadanya sekalipun anda tidak mampu menghulurkan bantuan yang lebih dari itu . Hari ini seseorang memerlukan anda , tapi pada hari esok anda pasti memerlukan seseorang . Oleh itu , patuhilah fitrah alam bahawa kita saling memerlukan .


•    Belajarlah untuk berkata benar . Kebenaran itu indah . Tapi harus berpada-pada . Pastikan kebenaran itu tidak melukai sesiapa . Mungkin kebenaran itu bermakna bagi satu pihak , tapi menyakitkan bagi satu pihak yang lain . Letakkan diri anda di tempat pihak tersebut dan cubalah fahami situasinya jika berdepan dengan kebenaran yang bakal anda bentangkan . Tidak salah berkata benar , malah memang anda dituntut untuk berbuat demikian . Tapi , nyatakannya dengan berhemah agar tidak melukai hati sesiapa .


•    Cuba hadkan keinginan harian anda . Keinginan yang terlampau banyak dan tinggi hanya akan menambahkan tekanan dan kerisauan . Janganlah dalam sehari itu anda mengerah segala tumpuan dan usaha untuk memiliki rumah besar , kereta mewah dan wang berjuta . Semua ini boleh menyebabkan anda tidak senang duduk .


Jangan sesekali membebankan hidup dengan memikirkan bagaimana caranya untuk mendapatkan semua itu serentak , pada hari itu juga . Penuhi keperluan asas anda dan keluarga terlebih dahulu . Kemudian , barulah fokus kepada kehendak tersebut satu per satu.


•     Hargai dan fahamilah bahawa Tuhan merupakan pemilik yang agung . Anda perlu menerima hakikat bahawa apa yang menjadi milik anda pada hari ini hanyalah milikan sementara . Tiada yang kekal . Hari ini anda disayangi keluarga , rakan-rakan , teman sepejabat , tidak mustahil suatu hari nanti situasi akan berubah . Mungkin hari ini anda mempunyai kereta yang cantik atau rumah yang besar tapi belum tentu anda akan memiliki benda yang sama pada hari esok .

    Anggap saja ia sebagai amanat yang dipertanggungjawabkan oleh Tuhan kepada anda . Dan suatu hari nanti , anda akan memulangkannya kepada yang hak iaitu Tuhan . Hargai dan syukuri apa yang ada dalam genggaman anda hari ini dan biarkan ia pergi jika memang itu yang telah dilakdirkan .

• Sekiranya anda berjumpa seseorang yang lebih baik daripada anda , jangan sesekali biarkan perasaan dengki menyelubungi diri anda . Kagumi kejayaannya . Dalam masa yang sama , fikirkan orang lain yang jauh lebih teruk berbanding anda . Anda sebenarnya bernasib baik jika dibandingkan dengan sesetengah orang yang terpaksa hidup , dalam penderitaan dan kesengsaraan . Jika anda fikirkan anda manusia malang , ketahuilah bahawa di luar sana ramai lagi yang lebih malang .


•     Berani mengakui kesalahan sendiri . Ketepikan sejenak ego yang ada dalam diri , hati anda akan lebih tenang . Tiada sesiapa yang dapat lari daripada membuat kesilapan . Itulah fitrah manusia seperti kita .


•     Sebelum melelapkan mata , insafilah semua rahmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada anda sepanjang hari . Ingatlah semua yang telah anda lakukan pada hari ini . Bermohonlah kepada Yang Maha Kuasa supaya anda akan kekal dalam rahmatnya untuk menempuh hari-hari yang mendatang . Jangan lupa mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana menjadikan diri anda seperti anda pada hari ini . Setelah itu , pejamkan mata dengan bibir yang tersenyum serta hati yang bersih dan ceria .

No comments:

Post a Comment